Followers

Friday, 28 October 2011

Pintaku padaMu


Ya Allah,
Sesungguhnya Engkau tahu apa yang sedang daku fikirkan,
Sesungguhnya Engkau tahu apa yang sedang daku rasakan,
Sesungguhnya Engkau tahu apa yang sedang melanda diri ini,
Sesungguhnya Engkau mengetahui segala-galanya,
Sudah pastilah kerana Engkau Maha Mengetahui .

Ya Allah,
Daku berharap kepadaMu,
Daku menyandarkan sepenuh pengharapan kepadaMu,
Daku berikan segala ketentuan dalam genggaman TanganMu,
Kerana Engkau lah sahaja yang mampu untuk menentukan setelah usaha yang daku lakukan.

Engkau berikanlah ketenangan kepadaku,
Kerana sesungguhnya ketenangan jiwaku selama ini terganggu dek perhiasan dunia yang melampau,
Kerana hatiku ini amat sukar untuk ku tahan segala godaan dunia milikMu,
Malah terkadang diriku sendiri yang merelakannya untuk mengikut telunjuk nafsu akan dunia,
Pergi menjauh meninggalkan suruhanMu,
Daku kehilangan kekuatan seketika taatkala diuji dengan secebis halangan yang cuba untuk merajai,
Namun daku tetap pinta kepadaMu walau diri ini dipalit malu kepadaMu.

Maka Engkau berikanlah kekuatan untuk daku melawan arus yang deras kala ini,
Sesungguhnya daku ini hambaMu yang sangat lemah lagi tak bermaya menahan segalanya,
Hanya kudratMu sahaja yang mampu memberikan nafas kekuatan dalam kehidupan yang sementara ini,
Yang menjadi medan ujian bagi memilih siapa pemenangnya,
Engkau sebagai Hakim yang Maha Adil pastilah Engkau berhak memilih siapa yang bakal menjadi pemenangnya,
Pemenang kepada nikmat abadi yang Engkau telah janjikan sekian lama,
Dan sudah pastilah diri ini yang penuh dengan kehinaan,
Bukanlah menjadi pilihan yang utama apatah lagi sebagai calon pemenangnya,
Namun Engkau Maha Penyayang terhadap hambaMu,
Kerana sesungguhnya daku tidak layak untuk mengucup pintu syurgaMu bahkan memasukinya,
Dan pula daku tidak mampu untuk menanggung siksa nerakaMu yang sangat berat.

Pintaku padaMu,
Redhailah kehidupanku semasa di dalam medan ujianMu,
Engkau jadikanlah daku dari kalangan hambaMu yang bertaqwa,
Moga daku mampu menjadi insan yang berjaya di sisiMu.

-sahabatmuslimeen-

No comments:

Post a Comment